PRU15: Peningkatan mendadak jumlah pengundi di Sabah masih dalam penelitian – Hajiji

PRU15: Peningkatan mendadak jumlah pengundi di Sabah masih dalam penelitian – Hajiji

Kota Kinabalu: Jumlah pengundi berdaftar di Sabah yang menunjukkan peningkatan mendadak masih dalam penelitian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pada masa yang sama, jentera-jentera parti di bahagian masing-masing turut diarahkan untuk melihat perkara itu.

“Kita telahpun mengarahkan jentera parti di kawasan masing-masing untuk meneliti dan melihat pengundi-pengundi ini.

“Sama ada mereka datang daripada kawasan itu ataupun dari mana, kita masih sedang meneliti,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pra-Pelancaran Minyak Masak ‘Sayang’ di Anjung Selera Likas, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan penubuhan sebuah pasukan petugas khas berkaitan perkara tersebut, beliau berkata, ia telahpun dilaksanakan di peringkat daerah.

“Kita buat di peringkat daerah masing-masing kerana mereka yang mengetahui siapa pengundi di kawasan itu, sama ada di daerah atau kampung.

“Mereka tinggal di sana selama berpuluh-puluh tahun jadi mereka tahu, kita akan terima laporan apabila semua penelitian telah selesai dilakukan,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan peningkatan mendadak jumlah pengundi di negeri ini.

Menurutnya, SPR dijangka akan mengadakan sesi taklimat mengenai isu itu dalam masa terdekat ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|