GRS perlu putuskan pendirian kedudukan KDM

GRS perlu putuskan pendirian kedudukan KDM

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu menyatakan pendirian berhubung tindakan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang mengumumkan meletakkan beberapa calon bagi mencabar Barisan Nasional (BN) dan GRS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Jafry Arifin berkata ia penting bagi mengelakkan kekeliruan rakyat terhadap pendirian parti gabungan itu dalam soal kerjasama bersama parti yang mesra kerajaan GRS-BN.

“Seperti yang kita tahu, parti KDM menyatakan sokongan dan memohon menyertai GRS tetapi pada masa yang sama, KDM mengumumkan beberapa calon untuk mencabar calon BN dan GRS dalam PRU15. Ini membuatkan rakyat keliru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan Parti KDM yang setakat ini sudah mengumumkan empat calon, masing-masing bertanding di Kota Marudu, Kota Kinabalu, Sepanggar dan Kimanis.

Jafry yang juga Setiausaha UMNO Sabah berkata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS perlu menjelaskan perkara itu demi kebaikan bersama.

Semalam, Presiden KDM, Datuk Peter Anthony dipetik sebagai berkata partinya akan mengumumkan beberapa lagi calon pada program di Tenom, hujung minggu ini.

Setakat ini, KDM belum diterima sebagai parti gabungan GRS, namun dianggap parti mesra kerajaan GRS-BN.

Bagaimanapun, tindakan Peter yang mengumumkan KDM mahu meletakkan calon dan bertanding secara solo pada PRU15 menimbulkan persoalan mengenai kedudukan sebenar parti itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|