PRU15: Siapa lawan siapa, apa misi dibawa, berapa parti, apa isu?

PRU15: Siapa lawan siapa, apa misi dibawa, berapa parti, apa isu?

Kota Kinabalu: Siapa lawan siapa, siapa bertemu siapa, siapa mencabar siapa dan apa misi dibawa sudah mulai diketahui satu persatu menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 5 November depan.

Ada bakal presiden lawan timbalan presiden di Penampang, mencabar bekas ketua di Sepanggar, bertemu lawan lama di Kimanis dan dicabar bekas rakan seperjuangan di Kota Marudu.

Juga dijangka bekas penyandang kembali dengan misi menyambung perjuangan belum selesai di Kota Belud, misi meningkatkan majoriti undi di Keningau dan membetulkan persepsi parti ‘Malaya’ di semua 25 kerusi.

Begitu juga ‘misi balas dendam’ perbuatan khianat di Tuaran dan mungkin juga di tempat lain serta misi solo dan menjadi ‘kingmaker’ di 25 kerusi di Sabah selain satu di Labuan dan mungkin juga ada kerusi tambahan di Semenanjung.

Tidak ketinggalan misi mengisi semula kekosongan ditinggalkan rakan seperjuangan di Batu Sapi dan tentunya misi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang diselitkan pada PRU15.

Itu antara situasi semasa bakal-bakal calon dan misi parti politik pada PRU15 di Sabah yang mempertaruhkan 25 kerusi Parlimen selain PRK Bugaya untuk direbut di antara blok kerajaan dan pembangkang pada hari mengundi, 19 November depan.

Empat blok parti, Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) di pihak kerajaan, diikuti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang mengaku masih mesra GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah serta Parti Warisan (WARISAN) selaku blok ‘tulen’ pembangkang.

Mereka inilah yang akan bersaing sengit sepanjang dua minggu kempen bermula selepas penamaan calon pada 5 November hingga jam 11.59 malam 18 November depan walaupun ada khabar Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Tun M turut mencari peluang di Sabah.

Panas, meriah, sibuk, pasti menjadi rencah sepanjang kempen meskipun hanya untuk menentukan wakil ke Dewan Rakyat dan hanya satu wakil mengisi kekosongan kerusi DUN.

Apa isu kali ini? Awal-awal lagi sudah mula tersebar – daftar pemilih meragukan, kenapa jumlah pengundi tiba-tiba naik mendadak hingga lebih 1.6 juta berbanding 1.1 juta pada PRU14 (2018)? Angkara siapa?

Daripada isu daftar pemilih melarat pula kepada isu pendatang asing tanpa izin (PATI), projek kad pengenalan (IC) dan bermacam isu berkaitan sama ada baharu atau lama pasti diungkit kembali menghangatkan kempen pilihan raya.

Isu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) ada yang menawarkan tiga, masing-masing mewakili ‘Malaya’, Sabah dan Sarawak serta ada juga menawarkan hanya dua, masing-masing untuk kuota Malaya dan kuota Sabah serta Sarawak.

Di satu pihak lagi mengatakan bukan jawatan TPM yang penting, jawatan pernah ditawar tapi ditolak kerana katanya lebih mengutamakan perjuangan menuntut hak rakyat Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tidak kurang isu parti nasional lawan parti ‘local’ dengan melihat kehadiran parti atau gabungan berasal dari Semenanjung yang bertembung dengan parti tempatan Sabah dalam persaingan kali ini.

Bagi parti nasional yang dimaksudkan, isu itu hanya dakyah untuk mengelirukan pengundi Sabah, selain menegaskan tiada orang luar mengemudi parti terbabit di Sabah, malah menekankan mereka memiliki autonomi yang menentukan keputusan di peringkat negeri.

Pihak lawannya pula tidak memandang siapa pemimpin yang menerajui parti, asalkan parti berasal dari Semenanjung sama ada di blok kerajaan atau rakan sesama pembangkang tetap dianggap nasional atau datang dari luar.

Peliknya, keputusan turut dibuat untuk sedia membentuk kerjasama selepas PRU nanti meskipun tiada kerjasama dari awal kempen dengan membawa misi menjadi ‘kingmaker’ atau penentu untuk membentuk kerajaan Pusat seperti disebutkan awal tadi.

Banyak lagi isu bakal muncul satu persatu selepas ini, khususnya sepanjang kempen PRU15 nanti, dari isu infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan air, pembangunan, pelaburan, pertumbuhan ekonomi, kemiskinan, peluang pekerjaan dan bermacam lagi.

Isu banjir yang hangat sebelum ini juga pastinya bakal menjadi modal jika cuaca sepanjang kempen nanti tiba-tiba menjadi buruk berikutan ketibaan Monsun Timur Laut atau tengkujuh bermula pertengahan bulan depan.

Begitulah antara gambaran perjalanan PRU15 di Sabah yang bakal ditempuhi sehingga 19 November depan dengan harapan walau apapun misi, walau apapun isu dan tidak kira siapa bertanding dan menang, nasib rakyat perlu menjadi keutamaan.

Pandangan bahawa rakyat adalah penentu memang sukar dinafikan dan sememangnya kemenangan seseorang calon dan kerajaan yang akan dibentuk nanti bergantung kepada keputusan rakyat.

Janji pilihan raya yang bertimbun sepanjang kempen, sama ada yang digariskan dalam manifesto parti bertanding atau yang disebut secara spontan ketika berkempen wajar ditunaikan selepas memenangi pilihan raya.

Malah, bagi pemimpin yang jujur dan ikhlas dalam janji mereka, tiada istilah menang atau kalah, janji tetap janji patut ditunaikan meskipun kalah dalam pilihan raya, kalaulah ada yang begitu.

Walau apapun misi setiap parti, harapan besar rakyat dan negara pada PRU15 pastinya untuk mengembalikan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang manfaatnya adalah untuk rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|