Ibu bapa kanak-kanak tular bermain di balkoni tingkap pangsapuri disiasat polis

Ibu bapa kanak-kanak tular bermain di balkoni tingkap pangsapuri disiasat polis

Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan terhadap satu rakaman video tular memaparkan dua kanak-kanak dirakam bermain di balkoni tingkap sebuah pangsapuri di Jalan Langkawi, Setapak.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, sepasukan polis bertindak ke kediaman berkenaan sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu.

Rakaman dua kanak-kanak bermain diluar balkoni tingkap sebuah pangsapuri yang tular di media sosial.

“Pada 25 Oktober jam 4 petang, polis mengesan satu video tular berdurasi 10 saat dimuat naik pemilik akaun Facebook Reff Lia memaparkan kejadian kanak-kanak dibiarkan cuai bermain di tepi balkoni tingkap di lokasi berkenaan.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Menurut Ashari, bertindak atas maklumat dan siasatan mendapati, ketika kejadian ibu bapa kanak-kanak terbabit berada di rumah dan tidak menyedari kejadian itu.

“Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Sabit kesalahan boleh didenda RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ashari berkata, pihaknya turut menasihati ibu-bapa agar tidak meninggalkan anak kecil bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kecuaian mengikut Akta Kanak-Kanak.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya menyalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju atau Hotline Polis Kuala Lumpur atau balai polis berdekatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|