PRU15: Jentera BN diminta berjuang habis-habisan – Bung Moktar

PRU15: Jentera BN diminta berjuang habis-habisan – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Jentera UMNO Barisan Nasional (BN) Sabah perlu berjuang habis-habisan menghadapi Pilihan Rya Umum Ke-15 (PRU15) yang disifatkan sebagai pilihan raya antara hidup dan mati untuk menentukan sama ada UMNO / BN dapat mengemudi negara semula ataupun sebaliknya.

Sehubungan itu Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap jentera UMNO/BN di semua peringkat perlu melihat PRU15 sebagai sesuatu yang serius dan berjuang semaksimum mungkin bagi memastikan kemenangan semua calon-calon BN – Gabungan Rakyat Sabah (GRS-BN) di kawasan masing-masing.

Bung Moktar mengadakan perjumpaan bersama tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Sabah di Kota Kinabalu.

“Pilihan raya kali ini adalah penentu kepada ‘hidup dan mati kita’. Sewaktu kita kalah pada PRU14 tidak ada dalam kalangan kita yang memikirkan bahawa UMNO BN boleh bangkit semula.

“Di Sabah ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 2020 ketika UMNO/BN berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran, tiada siapa menduga kita mampu berhadapan dengan parti Warisan (WARISAN) yang ketika itu menjadi parti pemerintah di Sabah.

“Namun, dengan semangat juang kita yang tinggi dan Allah SWT lorongkan satu peluang, kita berjaya membuktikan UMNO/BN belum terkubur di negeri ini dan semangat itu perlu kita bawa dan perhebatkan untuk menghadapi PRU15 ini,” katanya selepas perjumpaan dengan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di Pejabat Perhubungan Umno Sabah, semalam.

Hadir sama Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad; Ketua Pemuda UMNO Sabah, Datuk Abdul Aziz Julkarnain dan Ketua Puteri UMNO Sabah, Datuk Dr Fadilah Sarbi.

Bung berkata sayap parti tahu peranan, tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan serta perlu dilaksanakan sepenuhnya di kawasan masing-masing agar peluang keemasan PRU15 tidak terlepas di pihak pembangkang.

“Wanita dengan Jalinan Rakyatnya (JR) Pemuda bersama gerak gempur dan mendekati pengundi muda begitu juga Puteri dengan infromasi teknologi maklumat (IT) khususnya memainkan peranan mengawal media sosial. Jika komponen ini dapat digerakkan sepenuhnya sudah tentu usaha mendekati pengundi lebih berkesan,” katanya.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata perlu ditekankan ketika berkempen, UMNO/BN adalah politik khidmat yang tidak pernah meninggalkan rakyat, berbeza berbanding pembangkang dengan politik fintah, menghasut rakyat dan menabur janji-janji manis.

Beliau menambah pada PRU15 jalinan kerjasama di antara BN-GRS sudahpun dipersetujui dan perjanjian secara bertulis akan dimeteraikan dalam tempoh terdekat.

“Justeru semua pihak sama ada dari BN atau GRS perlu menghormati perjanjian dan kerjasama yang telah dipersetujui tanpa sebarang unsur sabotaj semasa PRU kali ini.

“Saya memahami perasaan ahli-ahli UMNO, ada sebahagian kawasan terpaksa kita lepaskan kerana menghormati jalinan kerjasama ini, yang penting bagi kita jalinan kerja sama BN-GRS ini mampu menyumbangkan kemenangan besar kepada BN untuk menerajui Putrajaya.

“Kerana itu ia menuntut pengorbanan dari semua pihak bagi memastikan kestabilan politik dan kemakmuran negeri serta rakyat terus terpelihara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|