PRU15: Campur tangan turunkan tambang pesawat balik mengundi – Bung Moktar

PRU15: Campur tangan turunkan tambang pesawat balik mengundi – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Kementerian Pengangkutan digesa campur tangan meminta syarikat penerbangan menurunkan kadar tambang untuk orang ramai pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata langkah itu perlu khususnya bagi penerbangan di antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung dan sebaliknya.

Beliau berkata, tanpa campur tangan kementerian, ramai rakyat Sabah dan Sarawak di Semenanjung, khususnya golongan pelajar berdepan kesukaran untuk pulang mengundi.

Katanya, begitu juga rakyat Semenanjung di kedua-dua negeri turut berdepan situasi sama jika kadar tambang syarikat penerbangan mahal.

Jelasnya, semakan mendapati tambang pergi balik syarikat penerbangan di antara Sabah dengan Semenanjung menunjukkan kadar yang semakin tinggi menjelang dua tiga hari sebelum hari mengundi pada 19 November depan.

“Kadar tambang jika balik sebelum akhir bulan ini dan kembali selepas hari mengundi juga adalah tinggi, malah ada yang mencecah hingga RM800.

“Jumlah itu sangat besar bagi golongan perantau, khususnya pelajar dan sudah pasti melemahkan semangat mereka untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 19 November depan,” katanya ditemui selepas mesyuarat BN Sabah, di sini, malam tadi.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan pelajar Sabah di Semenanjung yang berdepan halangan untuk pulang mengundi disebabkan tiket penerbangan yang mahal.

Sementara itu, Bung Moktar mengulangi cadangannya sebelum ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memasukkan golongan pelajar sebagai antara kategori pengundi awal atau pengundi pos bagi memastikan mereka tidak terlepas mengundi.

Kedua-dua kategori pengundi itu katanya dapat menyelesaikan masalah ketidakmampuan pelajar membeli tiket penerbangan yang mahal untuk pulang mengundi, khususnya pelajar Sabah atau Sarawak di Semenanjung dan sebaliknya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|