PRU15: Maximus masih pilihan terbaik untuk Kota Marudu – Hajiji

PRU15: Maximus masih pilihan terbaik untuk Kota Marudu – Hajiji

Kota Marudu: Kepimpinan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili masih diperlukan, terutama sekali dalam menyuarakan keperluan negeri ini pada peringkat persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Parlimen Kota Marudu, konsisten dan lantang dalam memperjuangkan hak Sabah.

Penyokong GRS menyatakan sokongan kepada calonnya di Kota Marudu

“Saya perlukan beliau untuk membantu menyuarakan tuntutan Sabah kepada kerajaan Persekutuan, suara dan ketekunannya yang kuat masih sangat diperlukan, terutamanya dalam menuntut hak kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya pada jelajah kempen untuk Maximus di kediaman Timbalan Ketua Setiausaha Bersatu Sabah, Datuk Maijol Mahap di Kampung Kokobuan, di sini, hari ini.

Hajiji turut menyifatkan keputusan PBS untuk mengunakan simbol GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai pengorbanan yang besar.

Hajiji menerima borang permohonan keahlian GRS daripada bekas ahli KDM.

“Ini sangat bermakna buat saya … Inilah kenapa saya ingin masyarakat di Kota Marudu untuk mengundi Maximus,” katanya.

Katanya, GRS, yang merangkumi Bersatu, PBS, STAR, SAPP dan Usno, bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN) berjanji untuk melakukan yang terbaik dalam terus membawakan pembangunan ke negeri ini.

“Kita inginkan kerajaan negeri yang stabil dan kukuh. Kerajaan negeri di bawah pimpinan Warisan sebelum ini hanya bertahan selama dua tahun kerana ia merupakan kerajaan yang tidak mendapat mandat daripada rakyat,” katanya.

Beliau turut membidas Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menurutnya gagal melakukan apa-apa untuk Kota Marudu sepanjang dua tahun berkhidmat sebagai Ketua Menteri dan sebelum itu ketika beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Persekutuan.

“Beliau bercakap seolah-olah tahu semuanya, namun apa yang telah dilakukan untuk Kota Marudu ketika beliau menjadi Ketua Menteri? Tandas awam pun tidak.

“Beliau tanya apa yang telah saya lakukan? Saya ingin bertanya kembali apa yang telah dilakukan untuk Semporna? Rumah-rumah yang musnah di Kampung Bangau-Bangau, Semporna pun beliau tidak boleh uruskan.

“Hanya apabila kerajaan GRS-BN ambil alih, dana bernilai RM8.5 juta diberikan untuk menyelesaikannya.

“Jangan cakap bohong. Saya tidak tahu bagaimana bercakap seperti itu, saya hanya bercakap tentang fakta,” katanya.

Meneruskan sesi kempen beliau di Dewan Komuniti di Kampung Kirangawan, Hajiji berkata, Maximus merupakan calon kerajaan.

Beliau turut menasihati pengundi untuk tidak terlalu emosi ketika mendengar ucapan daripada pihak pembangkang.

Hajiji memberi jaminan bahawa kerajaan negeri GRS-BN akan terus melaksanakan pelan pembangunan yang dipandu oleh Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita tidak perlukan pergaduhan politik, kita ingin memajukan Sabah. Ini adalah waktunya untuk kita bersatu di bawah satu ‘payung’, iaitu GRS,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hajiji turut menerima lebih 300 borang permohonan keahlian baharu daripada bekas ahli Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) Kota Marudu di Kampung Kokobuan dan Kirangawan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|