PRU15: Pengundi muda penentu masa depan negara – Ruddy Awah

PRU15: Pengundi muda penentu masa depan negara – Ruddy Awah

Kudat: Pengundi dalam kalangan generasi muda menjadi penentu ke arah merealisasikan transformasi atau perubahan negara pada masa depan.

Berikutan itu, Penyelaras Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kudat yang juga calon GRS Parlimen Kudat, Datuk Seri Dr Ruddy Awah berkata pengundi muda harus melengkapkan diri dengan ilmu, berani dan bersedia untuk mencipta sejarah.

Ruddy Awah

“Mereka tidak boleh mudah terpesong dan percaya dengan omongan kosong pembangkang yang sentiasa menjanjikan sesuatu yang tidak pasti.

“Terus berani dan bangkit kerana kita sedang berada di persimpangan jalan yang cukup penting dalam perjuangan pilihan raya dan pilihan kita menentukan jatuh bangun Parlimen Kudat,” katanya pada Himpunan Anak Muda Parlimen Kudat, di sini, semalam.

Ruddy (tiga kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Himpunan Anak Muda Parlimen Kudat.

Sementara itu, Ketua Pemuda GRS Kudat, Asmey Ruddy berkata Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sangat mencabar kerana pengundi muda sekarang terdedah dengan dunia digital di mana khabar angin sangat mudah disebar.

“Aliran maklumat yang pantas dan bebas menjadikan landskap politik negara yang jauh berbeza berbanding sebelumnya.

“Ia juga lebih mencabar dan memberi kesan kepada kesedaran dan kematangan politik pengundi muda.

“Oleh itu, generasi muda perlu bersatu dan bangkit menyahut cabaran ini dan menepis segala helah pembangkang bagi memastikan kemenangan calon GRS Parlimen Kudat,” katanya.

Himpunan Anak Muda Parlimen Kudat anjuran GRS yang diadakan sehari itu diserikan dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan menarik seperti sukan rakyat, servis motor percuma, sesi dialog dan persembahan artis.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|