PRU15: Jangan lagi tersalah undi – Suhaimi

PRU15: Jangan lagi tersalah undi – Suhaimi

Sandakan: Rakyat di Parlimen Libaran diingatkan agar tidak tersalah undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) ini bagi memastikan masa depan mereka, khususnya generasi muda tidak tergadai.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata keinginan rakyat mahu mencuba dan memilih kerajaan baharu pada pilihan raya umum lalu cukup memberi pengajaran kepada semua.

Suhaimi berucap pada program berkenaan.

“Janganlah diulangi lagi, cukuplah kita mencuba kerajaan baharu pada 2018 yang lalu.

“Sebelum itu, rakyat menerima pelbagai bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, elaun sara hidup nelayan, bantuan persekolahan dan sebagainya.

“Tetapi, selepas rakyat memilih Pakatan Harapan (PH), bantuan seumpama itu dimansuhkan. Malah, manifesto mereka juga tidak ditunaikan,” katanya pada sesi kempen di Kampung Gum-Gum Sri Manis, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Suhaimi mengajak rakyat untuk mengembalikan undi dan sokongan kepada BN yang terbukti mempunyai trek rekod baik dalam membela nasib rakyat dan membangunkan negara.

“Kita bersyukur kerana selepas Datuk Seri Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri, pelbagai bantuan disalurkan semula kepada rakyat. Malah, ada bantuan yang ditambah baik seperti Bantuan Keluarga Malaysia,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung menyatakan sokongan padu mereka terhadap Suhaimi dan BN demi kelangsungan pembangunan untuk akar umbi.

Penduduk percaya pemimpin yang seiring dengan kerajaan akan berupaya membawa pembangunan infrastruktur dan sosial selain membela kebajikan rakyat Libaran terutama penduduk kampung.

Terdahulu, Suhaimi meluangkan masa beramah mesra dengan pengundi dan peniaga menerusi sesi tinjauan mesra di Tamu Gum-Gum dan Bandar Sibuga Batu 8, di sini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|