PRU15: Fasih pelbagai bahasa mudahkan wakil rakyat dekati masyarakat – Lau Chi Keong

PRU15: Fasih pelbagai bahasa mudahkan wakil rakyat dekati masyarakat – Lau Chi Keong

Sandakan: Fasih bertutur dalam pelbagai bahasa memberi kelebihan buat calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi Parlinen Sandakan, Lau Chi Keong @ Thomas Lau jika diberi peluang menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Beliau berjaya menarik perhatian pengunjung berbilang bangsa dengan bertutur dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Kantonis pada program Perhimpunan Malam Belia di Pasar Malam Kim Fung, di sini, malam tadi.

Ucapan beliau turut mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 200 pengunjung kerana kesungguhan beliau dalam menawarkan diri untuk berkhidmat kepada rakyat Sandakan.

“Saya sedar memegang tanggungjawab sebagai wakil rakyat adalah berat tetapi saya sudah bersedia dari pelbagai aspek.

“Dan kebolehan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa memudahkan saya mendekati sekali gus memohon sokongan pengundi Sandakan yang terdiri daripada masyarakat majmuk,” katanya.

Dalam pada itu, Lau berkata, walaupun menjangkau umur 73 tahun, beliau masih mempunyai tenaga untuk menjalankan aktiviti kempen di sekitar Parlimen Sandakan dalam usaha meraih sokongan rakyat.

Katanya, beliau masih sihat dan umur lanjut bukan penghalang untuknya menjadi seorang wakil rakyat, kerana apa yang lebih penting adalah kesungguhan dan komitmen.

Malah, tegasnya, beliau sedia menumpukan sepenuh masanya berkhidmat untuk rakyat Sandakan jika diberi mandat pada PRU15 ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|