PRU15: Kombinasi wajah baharu, berpengalaman bawa suara rakyat Sabah ke Parlimen

Kota Kinabalu: Langkah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan kombinasi calon muka ‘baharu’ dan berpengalaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat mampu membawa suara Sabah ke peringkat nasional dengan lebih berkesan.

Calon GRS kerusi Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, hubungan dan komitmen yang baik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri penting dalam usaha untuk melangkah ke hadapan.

“Calon-calon yang dikemukakan merupakan kombinasi daripada kepimpinan muka baru dan juga mereka yang berpengalaman, sama ada di peringkat persekutuan dan negeri, dilihat sebagai kombinasi amat baik dalam membawa suara Sabah di peringkat nasional.

“Di Sabah, kita mempunyai ‘kitab’ atau pun dokumen hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan keberkesanan dan kejayaannya bergantung kepada komitmen daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya ditemui pada Majlis Pengumuman Calon GRS dan BN di Magellan Sutera Ballroom, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau akan memberikan komitmen sehabis baik dalam membawa suara Sabah dan memastikan agenda Kerajaan Persekutuan iaitu kemakmuran bersama dapat dicapai.

“Peranan saya jika ditakdirkan selaku wakil rakyat daripada Sabah adalah untuk memastikan kepentingan negeri ini dapat dilonjakkan pada kedudukan yang sewajarnya,” katanya lagi.

Sementara itu, calon GRS untuk Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, penampilan wajah-wajah baharu dalam PRU15 menjadi bukti pembaharun dari segi pendekatan.

Katanya, pada masa yang sama, dapat dilihat juga bahawa kepimpinan tertinggi GRS dan BN mempunyai kesepakatan yang cukup baik.

“Kita semua perlu tahu kenapa persepakatan itu wujud, jawapannya hanya satu, kerana mahu melihat Sabah membangun dari setiap sudut.

“Jika kita sentiasa bergolak dari sudut politik, kita tidak boleh maju ke hadapan itu sebabnya atas kesedaran yang jelas di antara kedua-dua pemimpin, kerana niat mereka hanya mahu melihat Sabah maju ke hadapan,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|