PRU15: Jangan lagi gaduh-gaduh, sakit sudah jiwa saya – Hajiji

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan pemimpin dan penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Barisan Nasional (BN) supaya tidak bergaduh berhubung agihan kerusi dan pemilihan calon kedua-dua gabungan berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi GRS, berkata pergaduhan sesama sendiri tidak membawa ke mana-mana, selain hanya menjejaskan kerjasama kedua-dua gabungan itu yang dibentuk dengan misi untuk menewaskan parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, sebaliknya kedua-dua gabungan perlu bersatu hati di semua 25 kawasan Parlimen seluruh negeri demi kebaikan bersama dan kestabilan politik Sabah.

“Cukuplah, jangan lagi macam- macam, itu pesanan saya. Saya mahu tengok kita dua gabungan ini bersatu hati di setiap kawasan di Sabah, kita mahu ada kestabilan politik.

“Kita tidak boleh tinggalkan gabungan ini dalam kerajaan negeri, itu yang saya minta, penat sudah kita gaduh-gaduh ini, sakit sudah jiwa saya.

“Bung Moktar bolehlah, tapi jangan lagi kita gaduh Bung, kita atur saja bagus- bagus negeri ini,” katanya dalam pesanannya kepada pemimpin dan penyokong GRS-BN pada Majlis Pengumuman Calon GRS-BN bagi PRU15, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi BN Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta ketua-ketua parti komponen GRS dan BN.

Pada majlis itu, Hajiji mengumumkan calon GRS di 13 kerusi Parlimen, manakala Bung Moktar mengumumkan 11 calon kerusi Parlimen dan seorang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Hanya satu kerusi Parlimen iaitu Beluran yang disandang Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee belum diputuskan sama ada ditandingi GRS atau BN.

Hajiji berkata, semua pihak perlu berlapang dada dan menerima keputusan pembahagian kawasan dan penentuan calon kedua-dua gabungan itu.

“Memang ini saat paling susah bagi kami pemimpin di peringkat negeri kerana semua pun boleh menjadi calon, pandai dan berpengaruh tapi kita hanya ada 25 kerusi.

“Kita sudah bagi UMNO BN, kita tidak boleh ambil semua, kena bagi-bagi, jangan marah-marah. Yang tidak jadi calon tolong jangan sabotaj sana sini, jangan ada fikiran yang negatif.

“Kita mesti bagi keutamaan kepada muafakat kita, calon BN dan GRS mesti menang dalam PRU ini. Ini penting, jangan tidak jadi calon berkira-kira lagi macam-macam.

“Kalau begitu, macam mana lagi kita bersatu dan maju di Sabah ini,” katanya

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|