PRU15: GRS-BN sepakat menang bersama

Kota Kinabalu: Majlis pengumuman calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN), hari ini, meriah dengan dihadiri lebih 5,000 penyokong dan pemimpin kedua-dua parti gabungan berkenaan.

Malah, kehangatannya juga jelas dirasai di bahagian luar dewan apabila para penyokong berdebar menantikan pengumuman calon di Parlimen masing-masing bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Tinjauan Deasoka.Com di lokasi mendapati, majlis yang diadakan di Magellan Ballroom, Sutera Harbour Resort, di sini, mula dibanjiri penyokong dan pengamal media bermula jam 12 tengah hari tadi.

Keadaan menjadi lebih gamat sebaik ketibaan Ketua Menteri yang juga Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Nor dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta pimpinan kedua-dua gabungan.

Pada majlis berkenaan, Bung Moktar mengumumkan 11 calon yang akan mewakili BN dan satu calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Manakala, Hajiji pula mengumumkan seramai 13 calon yang akan bertanding daripada pelbagai parti gabungan termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Bagaimanapun, keadaan sedikit berubah sebaik pengumuman selesai apabila calon bagi kerusi Parlimen Beluran yang disandang Datuk Seri Ronald Kiandee masih belum diumumkan.

Teka teki kekosongan calon bagi kerusi Parlimen berkenaan bermain seketika dalam kalangan penyokong dan pengamal media yang jelas tercari-cari jawapan kepada persoalan berkenaan.

Namun keadaan reda apabila kedengaran cakap-cakap yang mendakwa pengumuman itu belum dapat dibuat berikutan pemilihan calon bagi kawasan Parlimen berkenaan masih dalam perbincangan.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|