PRU15: 3 menteri negeri wakili BN bertanding

Kota Kinabalu: Tiga menteri termasuk Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mewakili Barisan Nasional (BN) dalam jemaah Kabinet negeri bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan yang disandangnya selama beberapa penggal, manakala dua lagi ialah muka baharu, iaitu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, masing-masing dicalonkan di kerusi Sepanggar dan Putatan.

BN Sabah turut mengekalkan dua penyandang kerusi sebelum ini iaitu Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis dan Pensiangan.

Selain itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar turut dicalonkan di kerusi Parlimen Tenom, manakala Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan membuat penampilan semula di Parlimen Kota Belud.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Tuaran pernah menyandang kerusi Kota Belud selama dua penggal sejak 2008 sebelum dipindahkan ke kerusi Parlimen Sepanggar pada 2018 tetapi tewas di tangan calon WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman.

Turut dicalonkan BN ialah ADUN Dilantik, Datuk Suhaimi Nasir di kerusi Parlimen Libaran dan Datin Maizatul Akmam Ali di Parlimen Lahad Datu.

Dua lagi kerusi ditandingi BN ialah Kalabakan dan Beaufort, masing-masing oleh Datuk Siti Aminah Aching dan Aslan Fadli Samsul Alang (BN).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|