PRU15: Keputusan PKDM umum calon tiada kaitan dengan GRS – Razali

PRU15: Keputusan PKDM umum calon tiada kaitan dengan GRS – Razali

Kota Kinabalu: Tindakan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) mengumumkan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah atas keputusannya sendiri.

Setiausaha Kerja Parti GRS, Datuk Mohamed Razali Razi menegaskan tindakan parti itu tiada kaitan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana ia bukan parti komponen dalam gabungan berkenaan.

“Dengan itu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor tidak mempunyai sebarang kuasa dan kedudukan untuk menghalang atau menafikan tindakan PKDM daripada bertanding dan meletakkan calon di mana-mana kerusi Parlimen pada PRU15 akan datang.

“Ini termasuklah kerusi-kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh komponen GRS mahupun Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, tindakan PKDM tidak melanggar mahupun membelakangi GRS selaras dengan prinsip demokrasi kerana parti berkenaan bukan sebahagian daripada komponen GRS.

“Perlu diingat, PKDM bukan hanya mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen yang berkemungkinan bakal ditandingi oleh BN, bahkan juga melibatkan kawasan yang berkemungkinan bakal ditandingi oleh GRS,” katanya.

Razali berkata, buat masa ini, GRS menumpukan segala gerak kerja untuk mempersiap siagakan jentera pilihan raya di kesemua kawasan Parlimen menuju PRU15, bulan depan.

Tambahnya, kerjasama di antara GRS-BN menjadi keutamaan dan akan terus diperkuatkan di setiap peringkat dan semua kawasan Parlimen bagi memastikan kemenangan dalam PRU15.

Sebelum ini, Setiausaha BN, Datuk Jafry Ariffin meminta GRS menyatakan pendirian berhubung tindakan PKDM yang setakat ini sudah mengumumkan calon bertanding menentang GRS dan BN di Kota Marudu, Kota Kinabalu, Kimanis dan Sepanggar.

Presiden PKDM, Datuk Peter Anthony sebelum ini menyatkan parti itu memohon untuk menyertai GRS selain menyatakan sokongan atau mesra kerajaan GRS-BN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|