Syukur semuanya selamat

Syukur semuanya selamat

Kuala Lumpur: Semua mangsa yang terbabit dalam kejadian helikopter terhempas di hutan tanah tinggi Brinchang, berhampiran Cameron Highlands, Pahang, disahkan selamat.

Difahamkan, semua mereka dalam perjalanan keluar dari lokasi nahas bersama pasukan penyelamat untuk ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata, di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Foto kredit BERNAMA

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, menerima panggilan kecemasan membabitkan helikopter jenis Eurocopter AS355 membawa petugas kesihatan melakukan pendaratan cemas di hutan tanah tinggi berkenaan.

Komander Operasi Zon 3 Pahang Shahrulnizam Nasir, mengesahkan lima mangsa termasuk juruterbang mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi dilaporkan patah tulang peha.

Semua mangsa menerima rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikeluarkan ke tempat selamat manakala operasi menyelamat masih dijalankan.

Terdahulu, Deasoka.com melaporkan sebuah helikopter dinaiki enam individu termasuk juruterbang hilang dari radar ketika berada di ruang udara sekitar Cameron Highlands, berhampiran sempadan Perak-Pahang, kira-kira jam 1.15 petang.

Difahamkan, helikopter milik syarikat swasta itu membawa pasukan perubatan termasuk seorang doktor dalam perjalanan dari Ipoh ke Lojing sebelum dilaporkan terhempas sekitar Brinchang.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan perkara itu, namun status sebenar tahap kecederaan masih belum dikenal pasti.

Beliau turut mengesahkan keadaan cuaca di lokasi berkenaan ketika kejadian adalah buruk.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|