Pertemuan Agong dan Presiden Singapura erat hubungan dua negara

Pertemuan Agong dan Presiden Singapura erat hubungan dua negara

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke istiadat Sambutan Negara di Istana, Orchard Road, hari ini, sempena lawatan negara Baginda ke Singapura selama empat hari bermula semalam.

Menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara, turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah memeriksa kawalan kehormat ketika kunjungan Baginda ke Singapura.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 5.30 petang tadi disambut Presiden Singapura Halimah Yacob dan suami, Mohammed Abdullah Alhabshee.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan menerima tabik Hormat Diraja daripada barisan kawalan kehormat dengan diiringi lagu kebangsaan Malaysia ‘Negaraku’ dan lagu kebangsaan Singapura ‘Majulah Singapura’.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong bergambar bersama Halimah serta suaminya, Mohammed.

Baginda kemudiannya berkenan memeriksa barisan kawalan kehormatan, diiringi Presiden Singapura dan disusuli dengan menandatangani Buku Pelawat Presiden.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan diperkenalkan kepada barisan Kabinet Menteri Singapura sebelum berangkat ke Majlis Penamaan Orkid yang dinamakan sempena dengan nama Raja Permaisuri Agong, iaitu ‘Queen Azizah of Malaysia’.

Selepas majlis itu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan mengadakan pertemuan dengan Presiden Singapura dan suami sebelum berangkat ke Majlis Santapan Negara yang juga berlangsung di Istana, yang merupakan kediaman dan pejabat rasmi Presiden Singapura.

Pertemuan itu merupakan kali kedua antara Al-Sultan Abdullah dan Presiden Singapura selepas Baginda berkenan menerima menghadap beliau di London pada 18 September Ialu berikutan kedua-dua pemimpin menghadiri Istiadat Pemakaman Negara mendiang Ratu Elizabeth Il.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|