PRU15: GRS platform terbaik suarakan kehendak, aspirasi Sabah – Ronald

PRU15: GRS platform terbaik suarakan kehendak, aspirasi Sabah – Ronald

Paitan: Penggabungan parti politik dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) penting sebagai platform terbaik untuk menyuarakan kehendak dan aspirasi negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi GRS Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Sabah memerlukan satu gabungan parti politik yang mantap bagi memastikan tidak diabaikan sekali gus mengangkat soal pembangunan.

Menurutnya, gabungan parti-parti politik dalam GRS ini juga menjadi landasan terbaik untuk memperjuangkan beberapa perkara termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Ronald berucap pada Jelajah GRS DUN Sugut di Pentas Rakyat Daerah Kecil Paitan.

“Kita mahu dana pembangunan yang banyak disalurkan di kawasan kita supaya melalui suara politik yang kuat, perkara-perkara yang kita kehendaki itu dapat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya pada Jelajah GRS DUN Sugut di Pentas Rakyat Daerah Kecil Paitan, semalam.

Ronald yang juga Naib Presiden BERSATU berkata permintaan-permintaan daripada Sabah dan Sarawak ini kini lebih jelas didengar dan direstui oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, bagi Sabah memang sudah ada kehendak dan aspirasi ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan, namun masih ada beberapa permintaan perlu diperjuangkan untuk pembangunan negeri ini dan kesejahteraan rakyat.

Menyentuh pembangunan di kawasan Parlimen Beluran, beliau menjelaskan usaha itu tidak berhenti dan terus diperjuangkan disebabkan masih ada kawasan khususnya di luar bandar memerlukan perhatian oleh kerajaan terutamanya berkaitan prasarana antaranya jalan raya, sekolah daif dan bekalan air.

“Memang ada usaha-usaha dilakukan dalam aspek pembangunan dilaksanakan di Beluran untuk kesejahteraan rakyat tetapi ia masih belum mencukupi dan perlu diteruskan.

“Sebab itu kita harus terus kekal, untuk menyokong kerajaan di peringkat negeri dan peringkat persekutuan, supaya hasrat kita ini dapat kita langsungkan untuk tempoh lima tahun akan datang ini,” katanya.

Untuk rekod, lebih 1,000 orang hadir pada program tersebut yang turut dihadiri Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Beluran, Samad Jambri; Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Sugut, Jamika Jeppy; Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sugut, Rasipah Nasir dan Ketua Bahagian Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Sugut, Jamri Sabu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|