Papar: Seorang penghantar makanan Foodpanda maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di kilometer 44 Jalan Kimanis-Keningau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun terbabit disahkan meninggal dhnia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di jalan selekoh di kawasan bukit.
Katanya, kereta Nissan Navara yang dipandu lelaki berusia 36 tahun bergerak menaiki bukit dari arah Kota Kinabalu ke Keningau.

“Manakala, mangsa yang menunggang motosikal Honda RS150R pula cuba memotong sebuah kenderaan ketika menuruni jalan bukit dan memasuki lorong bertentangan.
“Disebabkan jarak terlalu hampir, kedua-dua kenderaan tidak sempat mengelak terus bertembung di lokasi,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kamaruddin berkata, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pasukan Perubatan Hospital Papar yang hadir membantu di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat.
“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
-Deasoka