Kota Kinabalu: Pembahagian kerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dimuktamadkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

“Kita sudah selesailah dan kita akan umumkan tidak lama lagi. Mungkin beberapa hari sebelum penamaan calon,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Ramah Mesra Deepavali 2022 anjuran bersama Sabah Indian Chamber of Commerce (SICC) di The Magellan Sutera, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Timbalan Perdana Menteri dari Sabah akan dilantik jika gabungan itu memenangi PRU, Hajiji berkata Sabah menyokong perkara itu.

“Kita akan cari seorang pemimpin yang sesuai, sudah pasti kita sokong,” katanya.
Sementara itu, hampir 1,000 orang hadir memeriahkan sambutan Deepavali itu, diadakan pertama kali sejak pandemik melanda.
Dalam majlis itu juga, beliau yang diiringi Presiden SICC, Datuk V. Jothi telah menyampaikan sumbangan bernilai RM3,000 setiap satu kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Papar dan Persatuan Orang Buta Sabah.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya serta pemimpin daripada pelbagai parti politik dan organisasi.
-Deasoka