PBS cadang isu tiga TPM sebagai agenda MKMA63 pertama selepas PRU15

PBS cadang isu tiga TPM sebagai agenda MKMA63 pertama selepas PRU15

Kota Marudu: Sambil mengalu-alukan cadangan melantik Timbalan Perdana Menteri dari Sabah, Sarawak dan Malaya, ia disifatkan sebagai ‘sudah lama tertangguh’.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, perkara berkaitan pelantikan TPM bagi Sabah dan Sarawak telah dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).

Katanya, ia susulan permintaan awam, khususnya rakyat Sabah dan Sarawak, agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan itu.

“Malah, Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu juga sedang melihat perkara berkaitan rakan sekutu Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Maximus yang juga merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) menegaskan bahawa PBS, sebagai ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menyokong sepenuhnya cadangan itu namun ianya sudah tertunggak.

Tambah beliau, sebarang pemenuhan untuk kesan itu akan selaras dengan peruntukan Perlembagaan untuk memberikan status sama rata kepada Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai, PBS akan mencadangkan isu ini sebagai agenda pertama mesyuarat MKMA63, iaitu meluluskan cadangan tiga TPM di Malaysia.

“Ia akan melambangkan Malaysia baharu dan ia boleh menjadi lonjakan besar bagi Persekutuan Malaysia, dan saya yakin ia akan dipersetujui sebulat suara oleh MKMA63,” katanya.

Terdahulu, cadangan itu dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semasa Perasmian Program Gelombang Biru BN Zon 3, di Kimanis, baru-baru ini.

Zahid turut berkata, BN Sabah harus mencadangkan perkara ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memasukkannya krndalam manifesto PRU15 gabungan itu.

Tambah beliau, adalah tidak mustahil untuk negara ini mempunyai tiga orang TPM.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|