PRU15: Bawa sijil lahir ketika mengundi – GRS Penampang

PRU15: Bawa sijil lahir ketika mengundi – GRS Penampang

Penampang: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Penampang mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensyaratkan pengundi untuk membawa sijil lahir bersama kad pengenalan ketika mengundi nanti.

Pengerusi GRS Penampang, Kenny Chua, berkata ia bagi menghalang pengundi yang mempunyai identiti dan latarbelakang diragui daripada cuba untuk membuang undi.

Katanya perkara itu dicadangkan Pengerusi BERSATU Penampang, Datuk John Ambrose dan disokong sepenuhnya oleh pemimpin GRS dalam mesyuarat gabungan itu, di sini, semalam.

“Isu peningkatan jumlah pengundi di Sabah yang luar biasa dan meragukan amat merisaukan rakyat negeri ini.

“Satu cara yang kita fikir berkesan untuk menghalang individu-individu tertentu yang mempunyai latar belakang dan identiti meragukan ialah dengan meminta pihak SPR menentukan syarat agar pengundi membawa dokumen sokongan seperti surat lahir pada hari mengundi.

“Sekadar kad pengenalan tidak cukup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, isu Projek IC mengakibatkan rakyat Sabah hilang keyakinan terhadap kad pengenalan sebagai satu-satunya dokumen yang mengesahkan seseorang itu orang Sabah yang tulin.

Kenny walaubagaimanapun menyedari bahawa cadangan itu, sekirannya dilaksanakan oleh SPR, bukanlah satu penyelesaian sepenuhnya dalam usaha untuk memastikan sistem pemilihan kerajaan tidak dikompromi oleh mereka yang tidak sepatutnya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau merujuk kepada satu kes pada 2019 yang melibatkan penahanan tiga orang individu termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Semporna yang didakwa terlibat dalam pemberian sijil lahir dan MyKad kepada pendatang asing.

“Sekurang-kurangnya kita berusaha untuk menghalang mereka-mereka ini daripada mengundi. Itu hak kita. Dan kita mohon pihak SPR mempertimbangkan cadangan kami,” katanya.

Dalam mesyuarat itu, pemimpin GRS Penampang berkata mereka bersedia untuk berdepan dengan cabaran daripada semua calon yang akan bertanding dalam PRU15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|