PRU15: GRS-BN umum calon esok

PRU15: GRS-BN umum calon esok

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serentak di Magellan Sutera, di sini, petang esok.

Berdasarkan aturcara yang dikongsikan kepada media, program dijadual bermula jam 1 tengah hari dengan kehadiran orang ramai.

Turut dimuatkan ialah ucapan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS bermula jam 2 petang.

Ia kemudian disusuli penyerahan watikah kepada calon PRU15 bagi kedua-dua gabungan berkenaan.

Setakat ini, belum diketahui berapa agihan kerusi kepada GRS dan BN berikutan belum ada pendedahan mengenainya daripada kedua-dua pihak.

Bung Moktar sebelum ini hanya menyatakan daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, kedua-dua gabungan bakal mendapat agihan kerusi secara menang-menang.

Ia bermakna, kedua-dua gabungan masing-masing mungkin mendapat sama ada 12 atau 13 kerusi untuk diagihkan pula kepada parti komponen masing-masing.

Bagaimanapun, kerusi muktamad yang bakal ditandingi parti kedua-dua gabungan itu bakal diketahui sepenuhnya esok.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|