Tenom: Kejadian runtuhan tanah di bahagian pagar utama Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi, di sini, mengakibatkan enam anggota polis bantuan dan kakitangan terperangkap.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 8.30 pagi semalam.
Katanya, kejadian mengakibatkan semua enam mangsa terperangkap di bilik janakuasa yang terletak di kedudukan lima kilometer dari pagar bangunan utama.
“Tanah runtuh itu bukan saja mengakibatkan laluan masuk ke stesen janakuasa tidak dapat dilalui, malah beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan berkenaan turut tertimbus.
“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom terus menjalankan operasi mengesan mangsa dan semua mereka berjaya ditemui pada kedudukan satu kilometer dari pagar bangunan utama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa berusia 29 hingga 59 tahun terbabit berada dalam keadaan selamat dan mereka terus dibawa ke lokasi selamat untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.
“Selain itu, pekerja dan orang awam berhampiran juga dinasihat supaya tidak memasuki kawasan tanah runtuh atas faktor keselamatan.
“Operasi keseluruhan ditamatkan jam 9.30 pagi,” katanya.
-Deasoka