PRU-15: Dinamika politik Sabah jadi pertimbangan pilih calon

PRU-15: Dinamika politik Sabah jadi pertimbangan pilih calon

Kota Kinabalu: Dinamika politik di Sabah yang berbeza berbanding di Semenanjung perlu dilihat dalam pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di negeri ini.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, di Sabah gabungan di antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu dilihat oleh pucuk pimpinan dalam menentukan calon dan jumlah kerusi yang bakal ditandingi nanti.

Jelas beliau, variasi dan formula antara kedua-dua entiti pentadbir kerajaan Sabah itu perlu dijadikan penanda ukur oleh semua pihak bagi memastikan kelangsungan pentadbiran sedia ada selepas PRU-15.

“Sebenarnya memang saya setuju bahawa dinamika politik di Sabah amat berbeza dengan di Semenanjung, di mana di Semenanjung walaupun ada kerajaan gabungan sementara, terdapat juga UMNO, BN, dan juga PN, PAS dan sebagainya.

“Tetapi dalam parti mereka tidak menampakkan haluan yang sama dan di Sabah ini, walaupun kita ada BERSATU dalam GRS dan UMNO, PBRS dalam BN, kita telah bersetuju untuk mengadakan satu gagasan gabungan BN dan GRS untuk berhadapan PRU-15,” katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berkata walaupun pihaknya memaklumi keadaan semasa mengaitkan kedudukan BN dan GRS, gagasan itu diharap tidak mempunyai percanggahan dari sudut penstrukturan calon seperti PRN-16 Sabah dua tahun lalu.

“Sudah tentu ianya memerlukan satu kebijaksanaan untuk menentukan hala tuju ini sebab saya tidak mahu gagasan yang kita wujudkan ini terdapat percanggahan apabila pilihan raya berlaku.

“Sebab, kita telah melalui proses pada PRN Sabah di mana walaupun kita telah putuskan kerusi masing-masing, tetapi terdapat juga calon-calon lain didokong oleh parti yang bersama dengan kita bertentangan dengan kita.

“Jadi saya tidak mahu perkara ini berlaku, sebab kalau ia berlaku sudah tentu ia akan mencetuskan keraguan, ketidakseimbangan dan ketidaksenangan bagi pemimpin dan akar umbi.

“Apabilan cetusan ini berlaku, sudah tentu kerajaan negeri juga akan tergugat kedudukannya pada masa akan datang, ” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|