PRU-15: Autonomi BN Sabah perkukuh strategi menangi kerusi

PRU-15: Autonomi BN Sabah perkukuh strategi menangi kerusi

Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) Sabah memiliki autonomi untuk menentukan strategi bagi memenangi dan menawan semula kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia termasuk mengemukakan nama calon yang diyakini boleh memberi kemenangan kepada BN.

Jelasnya, meskipun penentuan calon merupakan kuasa mutlak Pengerusi BN Pusat, ia tidak menghalang BN negeri menyumbang kepada strategi untuk menang dan menawan kerusi.

Sebaliknya, beliau percaya pendekatan holisitik di antara pucuk pimpinan Pusat dan negeri menerusi autonomi Sabah itu bakal menterjemahkan kemenangan di setiap kerusi yang ditandingi BN nanti.

“Sebagai contoh, mereka juga menerima pandangan kita dan walaupun Pengerusi BN ada kuasa mutlak menentukan calon tetapi kita akan kemukakan calon-calon yang kita rasa boleh menang dan membantu BN untuk menawan kerusi itu semula.

“Di Sabah ini, BN dahulu kita menang 11 kerusi Parlimen tetapi akhirnya tinggal satu iaitu saya di Kinabatangan dan Alhamdulillah melalui PRK Kimanis kita menang satu dan tinggal dua.

“Jadi kita mengharapkan akan dapat mengekalkan kemenangan-kemenangan yang lalu untuk kita bagi pula sokongan ini kepada BN di Semenanjung untuk menawan Putrajaya selepas pilihan raya nanti, ” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu, berkata setakat ini, BN Sabah bersetuju dengan gagasan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk sama-sama menghadapi PRU-15, namun ia masih memerlukan perundingan terperinci terutama pemilihan calon.

“Pada hakikatnya memang kita bersetuju cuma memerlukan perundingan yang terperinci iaitu pertama agihan kerusi dan kita menentukan, Datuk Seri Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) telah meminta BN Sabah mengemukakan calon-calon yang dikenal pasti mempunyai tiga kriteria.

“Kriteria itu ialah ‘winable’, boleh menang, ‘acceptable’ boleh diterima rakyat dan ‘likable’ disukai oleh pengundi dan ini sudah tentu memang menjadi kriteria yang ingin kita terjemahkan dan calon-calon ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, wanita, pemuda dan juga calon-calon yang mungkin sudah pernah bertanding tetapi masih disukai rakyat di kawasan itu,” katanya.

Mengulas mengenai kesediaan BN di Sabah menghadapi PRU-15, Bung Moktar berkata, pihajnya telah mempersiapkan gerak kerja sejak enam bulan lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|