Tuaran: Gerakan Tanah Air (GTA) turut meletakkan calon untuk bertanding di kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Setiausaha GTA, Datuk Wira Marzuki Yahya, berkata ketika ini GTA dalam proses mewujudkan kerjasama dengan kumpulan di Sabah untuk bertanding atas nama GTA.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini belum diputuskan berapa banyak kerusi akan ditandingi gerakan itu daripada 25 kerusi Parlimen yang ada di Sabah.
“Di Sabah kita belum putus (berapa kerusi). Kita kini dalam proses untuk mewujudkan kerjasama dengan kumpulan di Sabah.
“Walaupun sudah ada empat parti di Semenanjung tapi di Sabah kita masih terbuka dengan kumpulan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai GTA, ini fokus kita.
“Cuma di Sabah ini hanya membabitkan Parlimen buat masa ini dan tidak membabitkan (kerusi) negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Tuaran, di sini, hari ini.
Marzuki yang juga Timbalan Presiden PEJUANG, berkata selain parti itu, tiga lagi parti yang membentuk GTA ketika ini ialah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA).
Katanya, semua parti itu berasal dari Semenanjung, namun GTA juga membuka ruang untuk bekerjasama dengan parti tempatan atau kumpulan yang ada di Sabah.
Bagaimanapun, tegasnya GTA tidak akan bekerjasama dengan kumpulan parti politik yang banyak merosakkan negara dan lari daripada perjuangan asal.
“GTA bukan sebuah parti politik tapi ia adalah satu gerakan yang mengajak orang Melayu dan Pribumi Sabah serta Sarawak untuk menyertai gerakan menyingkirkan parti politik yang banyak memberikan bebanan kepada mereka,” katanya.
Katanya, GTA tidak akan meninggalkan Sabah dan Sarawak serta rakyat Pribumi di kedua negeri itu dalam manifesto PRU-15 yang akan dibuat gerakan itu nanti.
-Deasoka