Sabah komited perhebat momentum pembangunan, tambah baiik kualiti hidup

Sabah komited perhebat momentum pembangunan, tambah baiik kualiti hidup

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah terus bertekad dalam usaha memperhebatkan lagi momentum pembangunan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia selaras menambah baik kualiti hidup rakyat melalui pelbagai program dan inisiatif.

Menurutnya, masih banyak yang perlu dilakukan namun sebagai pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan, agenda membela nasib rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh negeri akan terus diperhebatkan, meliputi pelbagai sektor pembangunan.

“Dalam konteks ini, kerajaan akan terus memperkasa pembangunan infrastruktur dan utiliti luar bandar serta jaringan komunikasi, meningkatkan kualiti pendidikan, kesihatan dan modal insan, menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik dan mengurangkan kemiskinan.

“Selain itu, menambah peluang pekerjaan, mempertingkatkan tahap keselamatan dan yang lebih penting, membangunkan semula ekonomi negeri yang ternyata mengalami kelembapan dan terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Dalam pada itu, Sabah juga telah membelanjakan lebih RM2.39 bilion untuk projek pembangunan sehingga 4 September tahun ini, di bawah Rolling Plan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-12.

“Ini menunjukkan prestasi 45.67 peratus daripada lebih RM5.23 bilion yang diperuntukkan di bawah pelan itu untuk 1,118 projek pembangunan yang diluluskan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Menjunjung Kasih Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat negeri Sabah bagi tahun 2022 sempena Hari Jadi Rasmi Ke-69 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata, agenda pembangunan negeri khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil positif.

Jelasnya, kejayaan turut dicapai dalam sektor lain seperti sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan termasuk pembangunan modal insan untuk memastikan anak-anak Sabah tidak tercicir atau ketinggalan dalam bidang pekerjaan.

“Saya percaya rakyat bijak untuk menilai fakta pencapaian kita khususnya ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Sesungguhnya kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab bukan saja memikirkan dan merancang malah yang lebih penting adalah melaksanakan banyak agenda pembangunan untuk membantu rakyat,” katanya.

Sempena majlis itu, Hajiji yang mewakili seluruh rakyat Sabah turut mengucapkan Selamat Hari Jadi Ke-69 kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Bin Datuk Haji Mahiruddin.

Katanya, Tuan Yang Terutama Tun ibarat payung perpaduan yang memayungi seluruh rakyat di Sabah tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum.

“Saya dan seluruh rakyat Sabah amat bertuah dapat bernaung di bawah pimpinan Tuan Yang Terutama Tun yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.

“Kestabilan dan keharmonian yang telah dikecapi sehingga ke hari ini akan terus disemai dan dipertahankan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat tahun ini.

“Saya berharap agar pengurniaan ini, akan dapat menyemarakkan lagi semangat dan iltizam semua penerima anugerah untuk terus menabur bakti dan memperkukuhkan usaha untuk sama-sama memajukan negeri Sabah yang tercinta agar terus maju, makmur, aman dan sejahtera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|