Kota Kinabalu: Persatuan Teksi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) memohon bantuan secara one-off sebanyak RM1,000 daripada kerajaan menjelang Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Pengerusinya, Shamsudin Mohd Sah berkata, bantuan berkenaan dapat membantu ahli-ahlinya yang terkesan dengan keadaan ekonomi yang merudum ketika ini.
Katanya, ramai pemandu teksi yang masih lagi menanggung hutang akibat pandemik Covid-19 selama dua tahun sebelum ini.
“Pada masa ini semuanya mahal, harga barang naik mendadak tanpa kawalan dan ditambah lagi dengan keadaan negara ketika ini yang masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.
“Ia sudah tentu membebankan kami yang mendapat pendapatan secara tidak menentu setiap hari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shamsudin berkata, sekiranya bantuan itu diberikan sekali lagi, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kos operasi harian serta meringankan sedikit bebanan mereka.
Katanya, kali terakhir mereka menerima bantuan sebanyak RM1,000 daripada kerajaan ialah pada 2020.
“Kami sekali lagi merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan keluarga Malaysia agar dapat mempertimbangkan sekali lagi bantuan one off kepada setiap pemandu teksi di sini,” katanya.
-Deasoka