Sipitang: Seorang lelaki warga emas dari Kampung Ulu, di sini, dilaporkan hilang ketika pergi ke kebunnya, semalam.
Mangsa, Asmad Bulat, 81, dikatakan keluar seorang diri dari rumahnya pada jam 6.30 pagi untuk ke kebun getah dan buah-buahan miliknya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 9.03 pagi tadi.
Katanya, pemanggil yang juga anak kepada mangsa mendakwa bapanya pergi ke kebun sejak pagi semalam namun sehingga kini masih tidak pulang ke rumah.
“Usaha mencari mangsa yang dilakukan oleh penduduk kampung turut gagal menemui mangsa
“Pasukan bomba terus ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat terperinci sebelum operasi SAR dijalankan di kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, setakat ini mangsa belum ditemui dan operasi SAR masih dijalankan.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
-Deasoka