BN Lahad Datu komited rampas semula kerusi Parlimen dan 4 DUN

BN Lahad Datu komited rampas semula kerusi Parlimen dan 4 DUN

Kunak: Barisan Nasional (BN) Lahad Datu komited untuk merampas semula kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu.

Ketua UMNO Bahagian yang juga Pengerusi BN Parlimen Lahad Datu, Mejar Halid Harun, berkata kerusi Parlimen Lahad Datu, DUN Segama, Silam, Tungku dan Kunak yang jatuh ke tangan pihak lain pada PRU dan PRN sebelum ini dilihat dapat dikembalikan kepada BN sejajar trend memilih BN dan kepercayaan rakyat yang meningkat semula.

Menurut beliau, pihak pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu membangkit beberapa sentimen termasuk isu kesukuan selain mengelirukan rakyat dengan pelbagai isu.

“Isu GST, isu kesukuan dan macam-macam lagi mereka (pembangkang) kelirukan rakyat pada masa itu, namun hari ini rakyat sudah tahu bahawa BN melalui UMNO yang benar-benar memperjuangkan rakyat dan ketika inipun mereka sudah sedar bahawa tiada parti lain yang boleh membela perjuangan bangsa dan membangunkan agenda rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemerkasaan Jentera BN di Pusat Daerah Mengundi Pangi, di sini, malam tadi.

Katanya,meskipun kehilangan kuasa, UMNO tetap bergerak mendampingi rakyat sekali gus memulihkan semula kepercayaan rakyat.

Jelasnya, pelbagai usaha dengan istiqomah dilakukan di peringkat akar umbi untuk membetulkan semula fikiran rakyat mengenai perjuangan sebenar BN membela rakyat.

Dalam pada itu, Halid berkata senarai nama calon PRU-15 telah dihantar dan dicadang kepada pucuk pimpinan dan menyerahkan apa sahaja keputusan kepada pemimpin atasan untuk membuat keputusan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|