Kota Kinabalu: Sebanyak 58 kontinjen mengambil bahagian dalam upacara perbarisan sempena sambutan Harijadi Rasmi Ke-69 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Padang Merdeka, di sini, pagi ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 41 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan tidak berpakaian seragam, swasta / komersial, IPTA / IPTS, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan etnik.
Selebihnya, 17 kontinjen mewakili pasukan berpakaian seragam rasmi.
Acara perbarisan bermula seawal jam 7 pagi, sebelum ketibaan Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni pada kira-kira jam 8 pagi tadi, disusuli lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku yang turut diiringi tembakan meriam sebanyak 17 das oleh Rejimen ke-6 Artileri Diraja.
Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag serta Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan, Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Tun Juhar seterusnya menyaksikan lintas hormat perbarisan pasukan berpakaian seragam sebelum menaiki kenderaan khas memeriksa perbarisan kontinjen yang mengambil bahagian.
Sejurus selepas itu, Tun Juhar kembali ke pentas utama untuk memotong pulut kuning sempena sambutan harijadi rasminya sambil disaksikan Norlidah, Hajiji dan Dr Joachim.
Sambutan kemudian diteruskan dengan persembahan khas Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah sempena sambutan harijadi rasmi Tun Juhar.
Tuan Yang Terutama (TYT) kemudian berangkat pulang pada kira-kira jam 9 pagi untuk upacara seterusnya di Istana Seri Kinabalu iaitu pengurniaan darjah kebesaran, pingat dan bintang negeri Sabah.
-Deasoka