MKT UMNO putuskan PRU-15 tahun ini juga

MKT UMNO putuskan PRU-15 tahun ini juga

Kota Kinabalu: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam tadi mencapai ketetapan mengenai pembubaran Parlimen yang perlu dilakukan dalam masa terdekat agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini juga.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dalam satu kenyataan, berkata berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19 setelah runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana persengketan dalaman politik sesama mereka.

“Sehubungan itu, semua jentera parti di setiap peringkat adalah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh PRU-15,” katanya.

Beliau berkata, UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi, sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi.

Jelasnya ia berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup rakyat, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik untuk negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|