Hilang beberapa jam dipercayai diganggu makhluk halus

Hilang beberapa jam dipercayai diganggu makhluk halus

Penampang: Seorang lelaki dilaporkan hilang selama beberapa jam selepas dipercayai terkena gangguan makhluk halus di Kampung Lok Bonu, Petagas, di sini, malam tadi.

Mangsa yang berusia 21 tahun terbabit mula disedari hilang oleh ahli keluarganya pada jam 6.40 petang sebelum meminta bantuan penduduk kampung untuk mencarinya.

Bagaimanapun, usaha pencarian gagal sebelum menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan mencari mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 8.15 malam.

Katanya, seramai empat pegawai dan anggota bersama sebuah jentera terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Menurut pemanggil iaitu ibu kepada mangsa, sebaik disedari hilang usaha mencari dilakukan dengan bantuan penduduk kampung namun gagal menemuinya.

“Ibu mangsa memaklumkan, anaknya dipercayai hilang selepas mengalami gangguan makhluk halus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba yang tiba ke lokasi kejadian terus mendapatkan maklumat terperinci sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, mangsa akhirnya berjaya ditemui pada jam 9.36 malam di dalam Masjid Jamek Putatan yang terletak kira-kira 2 kilometer dari rumah mangsa.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak keluarga sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.55 malam,” katanya.

-Deasoka

Share

Written by:

1,671 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!