Rebat khas 25 peratus Yayasan Sabah dilanjut hingga Disember

Rebat khas 25 peratus Yayasan Sabah dilanjut hingga Disember

Kota Kinabalu: Program rebat khas 25 peratus yang ditawarkan Kumpulan Yayasan Sabah dilanjutkan tiga bulan lagi bermula 1 Oktober hingga 31 Disember depan.

Menerusi satu kenyataan, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, berkata program itu yang berakhir semalam diteruskan berikutan sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminjam Yayasan Sabah.

“Sebelum ini, rebat 25 peratus hanya diberi kepada peminjam pinjaman pelajaran yang mahu memendekkan tempoh bayaran balik sekurang-kurangnya 75 peratus daripada tempoh bayaran balik yang ditetapkan.

“Melalui program rebat khas 25 peratus ini, peminjam, tanpa mengira yang mahu memendekkan tempoh bayaran balik, layak mendapat rebat 25 peratus berdasarkan terma dan syarat yang dipersetujui,” katanya.

Beliau juga berharap Kumpulan Yayasan Sabah dapat mengutip lebih banyak pembayaran balik pinjaman untuk menambah dana bagi meneruskan program tajaan pendidikan kepada pelajar menerusi program berkenaan.

Katanya, peminjam yang berminat mesti menandatangani surat berkanun penerimaan tawaran rebat.

Bagi tujuan itu, katanya Kumpulan Yayasan Sabah turut mempelbagaikan kemudahan bayaran balik bafi memudahkan pemimjam membuat bayaran balik.

Menerusi program itu, katanya pemimjam boleh membuat bayaran secara dalam talian sebagai antara kaedah pembayaran.

“Peminjam mempunyai pelbagai pilihan pembayaran digital seperti Maybank2u untuk pelanggan Maybank dan pemindahan wang menggunakan telegraf serta JomPAY bagi pelanggan bank lain.

“Sebagai alternatif, kita juga menerima bayaran dibuat melalui arahan bank, draf bank dan cek.

“Peminjam juga boleh datang ke pusat bayaran kita di Tingkat 6, Menara Tun Mustapha, Teluk Likas atau pejabat zon Yayasan Sabah di Beaufort, Kota Marudu, Keningau, Sandakan dan Tawau,” katanya.

Katanya, semakin banyak kutipan semula bayaran balik pinjaman Yayasan Sabah, semakin banyak dana untuk membolehkan yayasan itu terus menyokong dan menyediakan tajaan pendidikan kepada pelajar pada masa depan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai program rebat khas 25 peratus itu boleh didapati melalui laman sesawang Kumpulan Yayasan Sabah di http://www.yayasansabahgroup.org.my

Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman Facebook KYS-Yayasan Sabah atau menelefon di talian 088-326300 (Ext-1716, 1242 & 1246) atau email ke bayaranbalikpengajian@ysnet.org.my.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|