PRU-15: Abdul Rahman antara 5 nama dalam pencalonan BN di Kota Belud

PRU-15: Abdul Rahman antara 5 nama dalam pencalonan BN di Kota Belud

Kota Kinabalu: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan namanya adakah antara lima nama dicadang sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Kota Belud pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, beliau masih menyimpan hasrat untuk berkhidmat di Kota Belud kerana masih banyak agenda yang belum terlaksana.

“Daripada cadangan bahagian Kota Belud, mereka telah memasukkan nama saya sebagai salah seorang daripada lima nama yang telah dicadangkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO.

“Sebenarnya saya tidak pernah meninggalkan Kota Belud. Namun pada tahun 2018, saya telah diarahkan untuk bertanding di Sepanggar.

“Saya ingin berkhidmat di Kota Belud semula kerana masih banyak lagi perancangan untuk daerah itu, slogan saya ialah ‘sambung yang tergendala’,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ikrar Pelajar Baharu UMS Sesi 2022/2023 di Dewan Canselor UMS, di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata demikian ketika ditanya sekiranya beliau akan bertanding di Kota Belud pada PRU-15 ini.

Jelas beliau, daerah Kota Belud memiliki potensi cukup besar dari segi pendidikan, minyak dan gas serta pertanian.

“Sepanjang saya menjadi Ahli Parlimen di situ (sebelum PRU-14), kita sudah menyelesaikan politeknik. Namun, satu agenda besar yang ingin saya bawa ke daerah itu ialah industri minyak dan gas.

“Kita ada pelabuhan yang jarang digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya iaitu Pelabuhan Usukan yang berpotensi besar.

“Jadi, untuk menjawab soalan anda, saya ingin kembali berkhidmat di Kota Belud. Tapi semua ini terpulang kepada kepimpinan parti untuk menentukan,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|