Anggota tentera perlu tumpu tugas, elak politik

Anggota tentera perlu tumpu tugas, elak politik

Putatan: Anggota pasukan tentera di negeri ini dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dengan sebarang aktiviti berkaitan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Panglima Lima Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab berkata, anggota tentera tidak digalakkan untuk melibatkan diri sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan kempen parti politik.

Datuk Abdul Rahman A Wahab menyempurnakan pemakaian pangkat ke atas anggota sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Ke-3 Divisyen Kelima Infantri di Padang Kawad Rejimen Ke-6 RAD, Kem Lok Kawi, Putatan.

Katanya, mereka sebaliknya perlu menumpukan perhatian kepada bidang penugasan masing-masing.

“Hal ini penting supaya semua anggota lebih dilihat professional dalam organisasi dan bukannya sibuk berpolitik.

“Anggota perlu memastikan setiap penugasan yang diberikan dilaksanakan sebaiknnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Perbarisan Hari Ulang Tahun Ke-3 Divisyen Kelima Infantri yang berlangsung di Padang Kawad Rejimen Ke-6 RAD, Kem Lok Kawi hari ini.

Perbarisan Hari Ulang Tahun Ke-3 Divisyen Kelima Infantri.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang situasi penting selepas pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Katanya, dalam apa juga keadaan, pihaknya akan tetap menjaga kedaulatan negeri Sabah dan pembahagian kawasan sudah dibuat dengan 5 Briged.

“Kita bahagikan kepada dua kawasan iaitu pantai barat Sabah kepada 5 Briged manakala kawasan pantai timur adalah di bawah naungan 13 Briged.

“Secara keseluruhannya, kedua-dua Briged ini sudah mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi sama ada daripada segi aset mahupun tenaga kerja dalam menghadapi kemungkinan,” katanya.

Menurutnya, jumlah keanggotaan tentera juga mencukupi sepanjang berlangsungnya PRU-15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|