BSS bantu lebih 289,000 murid di Sabah

BSS bantu lebih 289,000 murid di Sabah

Putatan: Bantuan Sosial Sekolah (BSS) memberi manfaat kepada lebih 289,000 orang murid sekolah rendah di seluruh negeri.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, statistik itu memperlihatkan tanda prihatin kerajaan negeri dalam memberi kelegaan kepada golongan murid yang disasarkan.

Menurutnya, beliau berharap agar bantuan tersebut dapat sedikit sebanyak meringankan beban dan perbelanjaan yang ditanggung oleh para ibu bapa atau penjaga, selain memanfaatkan keperluan itu untuk rutin pembelajaran harian.

“Sebanyak 1,075 buah sekolah rendah di seluruh negeri akan menerima bantuan sosial sekolah pada tahun ini.

“Ianya melibatkan lebih 289,000 orang murid sekolah rendah, tidak kira sama ada berstatus B40 ataupun M40 mereka semua layak menerima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan BSS kepada lapan sekolah rendah dalam daerah Putatan di SK Pekan Putatan, di sini, hari ini.

Shahelmey berkata, bantuan yang diberi termasuklah pakaian seragam sekolah, kasut sekolah, buku latihan dan alat tulis.

Menurut beliau, pihaknya juga berharap agihan BSS itu akan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun akademik 2022.

“Kita minta kerjasama daripada beberapa buah sekolah yang mungkin belum mengemaskini data-data pelajar mereka untuk berbuat demikian di sistem D-BaSS bagi tujuan agihan bantuan sosial sekolah.

“Ini agar tiada murid sekolah rendah yang tercicir daripada mendapat bantuan daripada kerajaan ini,” katanya.

Untuk rekod, setakat hari ini, sebanyak 88 buah sekolah rendah yang melibatkan seramai 16,500 orang pelajar telah menerima bantuan pakaian seragam dan kasut sekolah.

Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut ialah Pegawai Daerah Putatan; Mokhtar Hussin; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat; Myrna Jimenez; Pengurus Besar KOSAN; Abdul Rahman Laman dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Penampang; Robert John.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|