Anjur lebih banyak program perkasakan ahli PUSPANITA

Anjur lebih banyak program perkasakan ahli PUSPANITA

Kota Kinabalu: Anjurkan lebih banyak program bagi memperkasa ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) cawangan Sabah dalam pelbagai bidang ilmu seterusnya diturunkan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag berkata, beliau kagum dengan prestasi dan kecemerlangan PUSPANITA Cawangan Sabah dalam melaksanakan pelbagai program bermanfaat kepada persatuan, ahlinya serta orang ramai.

Juliah melancarkan Tabung Kasih PUSPA Sabah sempena Majlis Jalinan Mesra Tautan Kasih Bersama Penaung PUSPANITA Cawangan Sabah di SICC.

Menurutnya, sejajar dengan misi PUSPANITA iaitu memperkasa dan merakyatkan PUSPANITA, beliau mengucapkan syabas kepada persatuan ini atas pelbagai inisiatif dan tidak pernah jemu berusaha melaksanakan program bagi memperkasakan semua ahlinya.

“Ini termasuklah penganjuran kursus, seminar, ceramah dan lawatan sambil belajar, yang saya percaya telah dapat memberikan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan kepada ahli-ahlinya dalam pelbagai bidang.

Juliah beramah mesra ahli Puspanita sempena Majlis Jalinan Mesra Tautan Kasih Bersama Penaung PUSPANITA Cawangan Sabah di SICC.

“Sudah tentu usaha merakyatkan PUSPANITA juga turut dilaksanakan, bagi meningkatkan keprihatinan ahlinya dengan mengutamakan keperluan rakyat.

“Antara aktiviti yang dianjurkan ialah Program “We Help” dan “Love Bank” yang mana PUSPANITA turun padang ke setiap daerah untuk memberi sumbangan kebajikan serta membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika merasmikan Majlis Jalinan Mesra Tautan Kasih bersama Penaung PUSPANITA Cawangan Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Juliah yang juga merangkap Penaung PUSPANITA Cawangan Sabah berkata, beliau berasa bangga dengan kejayaan persatuan itu yang menerima beberapa anugerah bukan saja peringkat negeri malah kebangsaan.

Jelasnya, pengiktirafan itu membuktikan bahawa ahli-ahli PUSPANITA mempunyai komitmen dan bersemangat waja sebagai satu pasukan dalam penganjuran setiap program dan aktiviti yang dirancang.

Mengenai majlis itu, Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berkata, ia akan menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim, berkongsi idea dan pengalaman antara ahli-ahli PUSPANITA dan MUTIARA GRS.

“Harapan saya agar Mutiara GRS dan PUSPANITA akan berganding bahu memberi sokongan dan sumbangan terhadap usaha-usaha Kerajaan membangunkan negeri ini melalui kerja-kerja amal bakti.

“PUSPANITA dan MUTIARA GRS berkongsi beberapa persamaan, iaitu bukan saja bertujuan memperkasakan ahli tetapi juga memanfaatkan tenaga kolektif mereka untuk melakukan penambahbaikan kepada wanita dan masyarakat secara keseluruhan.

“Saya berasa kagum kepada ahli PUSPANITA dan wanita bekerjaya secara keseluruhannya yang mampu bekerja dan mempunyai keluarga.

“Bukan saja berjaya menguruskan diri dan kerjaya dengan baik malah memastikan setiap keperluan rumah dipenuhi dengan sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Juliah turut melancarkan Tabung Kasih Puspa Sabah dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada tabung berkenaan pada majlis berkenaan.

Turut hadir menyempurnakan majlis ialah Pengerusi PUSPANITA cawangan Sabah, Datin Seri Nuinda Alias; Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Datin Faridah Jaafar dan Pengerusi Pelaksana Majlis Jalinan Mesra Tautan Kasih Bersama Penaung PUSPANITA Cawangan Sabah, Majella Tan Marquez.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|