Bangunan gudang musnah terbakar

Bangunan gudang musnah terbakar

Tawau: Lima daripada lapan pintu di sebuah gudang perniagaan di Jalan Tanjung Batu, di sini, musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, tiga daripadanya beroperasi membabitkan perniagaan runcit, bengkel dan perusahaan kerepek, manakala dua lagi adalah lot kosong.

Keadaan gudang di Jalan Tanjung Batu, Tawau yang terbakar.

Kecekapan pasukan bomba dalam menjalankan operasi pemadaman berjaya mengawal api daripada terus merebak dan menyebabkan lebih banyak kerosakan.

Jurucakap Pusat Gerakan (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 1.54 petang.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan gudang perniagaan di Jalan Tanjung Batu, Tawau.

Katanya, seramai enam pegawai dan anggota bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah gudang jenis separuh kekal yang dianggarkan berkeluasan 1,040 meter persegi.

“Sebaik tiba di lokasi, operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan tiga aliran dengan enam pancutan air bagi mengelakkannya daripada terus merebak ke premis berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba akhirnya berjaya menyelamatkan 10 lori 10 tan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada berhampiran daripada terbakar.

Katanya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

“Operasi dilaporkan terkawal pada jam 2.19 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.57 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|