PRU-15: PBS guna lambang GRS

PRU-15: PBS guna lambang GRS

Penampang: Parti Bersatu Sabah (PBS) menerima keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menggunakan lambang gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata keputusan itu adalah atas dasar solidariti dalam GRS.

“PBS akan bertanding menggunakan lambang GRS. Ini keputusan GRS dan kita ikut arahan itu.

“Ini kerana kita (PBS) adalah sebahagian daripada kerajaan GRS hari ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PBS, di Donggongon, di sini, semalam.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), September 2020, PBS bertanding menggunakan lambang sendiri di 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebelum ini, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor mengumumkan calon parti komponen gabungan itu akan menggunakan lambang GRS pada PRU-15.

Selain PBS, GRS disertai bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Mengenai jumlah calon mewakili PBS dalam GRS pada PRU-15, Maximus yang juga penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu, berkata pihaknya ada senarai yang diminta namun belum diputuskan lagi.

Difahamkan, agihan kerusi dalam GRS hanya dapat diputuskan selepas rundingan di antara GRS dan BN mengenai kerjasama dalam PRU-15 selesai.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PBS bertanding lima kerusi Parlimen iaitu di Kota Marudu, Keningau, Batu Sapi, Tawau dan Kota Kinabalu, namun hanya menang satu kerusi iaitu Kota Marudu.

-Deasoka

Share

Written by:

1,540 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!