UMS dilantik ejen pungutan dan agihan zakat harta

UMS dilantik ejen pungutan dan agihan zakat harta

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini menjadi ejen pungutan dan agihan zakat harta bagi pihak Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, hasil daripada pungutan itu akan digunakan untuk membantu pelajar yang memerlukan, khususnya golongan B40.

“Ini merupakan satu inisiatif yang baik antara UMS, selaku badan berkanun, dengan MUIS di mana kita jangkakan boleh kutip hampir RM1 juta setahun.

“Sebanyak 50 peratus boleh digunakan untuk tujuan bantuan kewangan kepada pelajar yang menghadapi masalah kewangan dan selebihnya kita akan kembalikan kepada pihak MUIS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Pelantikan UMS sebagai ejen pungutan dan agihan zakat harta bagi pihak MUIS, di Dewan Canselor, baru-baru ini.

Selain itu, Kasim berkata, kerjasama ini juga penting dalam memastikan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, dapat meneruskan pengajian mereka di universiti.

“Ini satu inisiatif yang baik juga bagi memastikan mereka tidak ada masalah untuk meneruskan pengajian mereka, kerana kebanyakkan daripada mereka merupakan pelajar-pelajar yang baik dan berpotensi besar.

“Seperti yang kita telah dapat maklumat daripada Bahagian Akademik, hampir 70 peratus daripada pelajar-pelajar kita adalah golongan B40. Jadi, ini satu keperluan.

“Kita tidak mahu pelajar daripada golongan B40 ini tercicir daripada pengajian di peringkat menara gading,” katanya.

Hadir menyaksikan Majlis Menandatangani MOA itu, Ketua Menteri merangkap Pro Canselor UMS, Datuk Seri Hajiji Noor; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Rahman Dahlan serta Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Exco Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|