RM2 juta dana penyelidikan UMS dari kerajaan negeri

RM2 juta dana penyelidikan UMS dari kerajaan negeri

Kota Kinabalu: Sebanyak RM2 juta diperuntukkan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk memperkasa kerja-kerja penyelidikan.

Ketua Menteri merangkap Pro Canselor UMS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai pelbagai program termasuk penyelidikan yang sedang dilakukan ketika kunjungan hormat Naib Canselor UMS baharu, Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur, baru-baru ini.

Hajiji bersama pelajar baharu UMS baharu bagi sesi 2022/2023 di UMS.

“Penyelidikan akan membuka lebih banyak peluang untuk pembelajaran dan pertumbuhan dan saya ingin melihat UMS melakukan lebih banyak dalam bidang ini.

“Oleh itu, saya dengan sukacitanya mengumumkan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM2 juta kepada dana penyelidikan UMS.

“Saya berharap ia akan merangsang agenda penyelidikan universiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Ikrar Pelajar Baharu UMS Sesi 2022/2023 di Dewan Canselor UMS, di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebagai kumpulan pemimpin masa depan, generasi muda mempunyai tanggungjawab untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran dan moral tinggi dengan etika yang sempurna melalui pendidikan.

“Belia harus diberikan peluang untuk merumuskan dasar pembangunan negara. Sejak kebelakangan ini, belia telah maju ke hadapan untuk melibatkan diri dalam beberapa pilihan raya negeri di Malaysia.

“Ini menunjukkan kesediaan mereka untuk menyumbang dari segi idea dan tenaga dalam membangunkan negara,” katanya.

Menyedari perkara itu, katanya kerajaan negeri sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada belia di Sabah untuk terlibat dalam proses tersebut dengan cara yang lebih holistik melalui beberapa inisiatif, seperti Parlimen Belia Sabah serta program Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan.

Hajiji berkata, kumpulan pertama yang melibatkan 24 graduan dipilih untuk program Felo SMJ yang melalui program bimbingan selama enam bulan dalam kesemua 12 kementerian negeri pada Mac tahun ini.

“Program ini sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mengembangkan pembangunan modal insan di Sabah.

“Ia juga merupakan peluang untuk para belia untuk menyumbang dengan cara yang positif, sekiranya mereka memutuskan untuk menceburi politik atau membantu membentuk dasar kerajaan pada masa akan datang,” katanya lagi.

Hajiji berkata, pembangunan modal insan merupakan satu daripada tiga teras utama dalam Hala Tuju SMJ yang telah diasaskan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) sebagai arah pembangunan negeri.

Beliau berharap agar golongan belia akan terlibat dalam proses pilihan raya memandangkan semua warga negara Malaysia yang telah mencapai umur 18 tahun akan didaftarkan sebagai pengundi secara automatik.

“Ia bukan hanya disebabkan anda didaftarkan secara automatik, tetapi ia merupakan tanggungjawab anda sebagai warga negara Malaysia untuk memilih kerajaan negara,” tegasnya.

Untuk rekod, sebanyak 4,576 pelajar telah dipilih untuk kemasukan baharu ke UMS, di mana sebanyak 60.6 peratus atau 2,770 adalah berasal dari Sabah, manakala selebihnya melibatkan 1,144 dari negeri lain, 582 dari Sarawak dan 23 adalah pelajar antarabangsa.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap EXCO Pendidikan negeri, Datuk Mohd Arifin Arif serta Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|