Lelaki dilaporkan hilang selepas keluar rumah

Lelaki dilaporkan hilang selepas keluar rumah

Tuaran: Seorang lelaki dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu, selepas keluar dari rumahnya di Kampung Kitapol, Kiulu, di sini, Selasa lalu.

Mangsa Inereus@Hendry Anthoni, 25, dikatakan kali terakhir dilihat keluar untuk ke rumah datuknya di Kampung Sinansag, Kiulu, di sini, melalui jalan kebun, kira-kira jam 3 petang.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa hanya menyedari kehilangannya selepas mangsa tidak balik ke rumahnya sehingga ke malam hari kejadian.

Usaha mencari mangsa cuba dijalankan penduduk kampung namun gagal sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 3 petang, semalam.

Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota termasuk Unit Dron serta Unit Anjing Pengesan (K9) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran digerakkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kemudian dijalankan petang semalam namun mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguh jam 7 malam tadi.

“Operasi SAR kemudian disambung jam 8.39 pagi tadi dan Unit Dron bergerak ke lokasi SAR jam 8.53 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sehungga kini mangsa belum ditemui dan operasi SAR masih dijalankan.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|