Gajah dewasa ditemui mati di ladang kelapa sawit

Gajah dewasa ditemui mati di ladang kelapa sawit

Tawau: Seekor gajah jantan yang dianggarkan berusia lebih 30 tahun ditemui mati oleh pekerja ladang di Ladang Mawang, Brantian, Kalabakan, di sini, Rabu lalu.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar(JHL) Tawau, Primus Lambut ketika ditemui berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam pada jam 4 petang.

Bangkai gajah jantan yang ditemui mati di kawasan ladang kelapa sawit, Kalabakan, Tawau.

Katanya, susulan itu, empat anggota JHL Tawau terus digerakkan ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.

“Pasukan JHL Tawau turut diarahkan ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan bagi mengenal pasti punca kematian haiwan berkenaan.

“Hasil daripada pemeriksaan awal, tiada sebarang kecederaan pada badan gajah yang dianggarkan berketinggian hampir dua meter berkenaan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Primus turut mengesahkan bahawa gajah berkenaan bukan haiwan sama yang sering memasuki kawasan Merotai seperti dilaporkan sebelum ini.

“Gajah ini bukan gajah yang sering memasuki kawasan merotai yang dilaporkan sebelum ini dan ini adalah gajah yang lain.

“Bedah siasat ke atas bangkai gajah berkenaan sedang dijalankan untuk mengetahui punca kematian gajah berkenaan,” katanya.

Semalam tular di media sosial melalui akaun seorang pengguna Facebook sekeping gambar gajah mati ditemui di Ladang Mawang Brantian Kalabakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|