PRU-15: GRS tekankan kerjasama dengan BN

PRU-15: GRS tekankan kerjasama dengan BN

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menekankan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata persetujuan sudah dicapai dalam kalangan parti komponen GRS untuk kerjasama berkenaan.

Perkara itu katanya ditekankan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan berkenaan malam tadi yang dihadiri pemimpin tertinggi semua parti komponen GRS.

“Dalam mesyuarat GRS kita menekankan kerjasama dengan BN. Itulah persetujuan kita,” katanya selepas mesyuarat berkenaan, malam tadi.

Gabungan GRS terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Hadir sama pada mesyuarat GRS malam tadi ialah Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee; Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, mesyuarat GRS malam tadi juga membincangkan mengenai persiapan gabungan itu untuk menghadapi PRU-15.

“Parlimen sudah dibubar, jadi kita mesti bersedia menghadapi pilihan raya, mengaktifkan jentera parti GRS dan juga kerjasama dengan BN,” katanya.

Mengenai calon GRS, beliau berkata perkara itu belum diputuskan lagi setakat ini.

“Calon belum lagi, kita akan umum nanti,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|