Lelaki meninggal dunia dalam rumah terkunci

Lelaki meninggal dunia dalam rumah terkunci

Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia selepas terkunci di dalam rumahnya di Pekan Manggatal, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai disedari kira-kira jam 7 malam oleh ahli keluarga sebelum menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan membuka pintu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.09 malam.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa yang berada di dalam rumah tidak memberikan sebarang respon.

“Pasukan Bomba terus menjalankan operasi membuka pintu terkunci menggunakan peralatan khas power saw,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir membantu di lokasi kejadian pada jam 7.54 malam.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.17 malam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|