Kapal tongkang terbakar dan tenggelam

Kapal tongkang terbakar dan tenggelam

Semporna: Sebuah kapal tongkang yang membawa minyak diesel terbakar dalam kejadian di Pulau Mabul, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kapal tongkang itu dilaporkan musnah sepenuhnya sebelum tenggelam di perairan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.20 petang.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna bersama bot Kevlar terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah kapal jongkong membawa muatan minyak diesel yang terbakar 100 peratus dan tenggelam.

“Api berjaya dikawal pada jam 8.05 malam bagi memastikan tidak merebak ke kapal berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.15 malam.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca serta jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|