JIM Sabah hantar pulang 342 PATI ke negara asal

JIM Sabah hantar pulang 342 PATI ke negara asal

Tawau: Seramai 342 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang ditahan di Depot Imigresen di negeri ini dihantar pulang ke negara asal mereka.

Semua PATI dihantar pulang menerusi Program Pemindahan Warganegara Indonesia melalui Pelabuhan Tawau ke Nunukan, pada semalam dan hari ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, ia membabitkan kategori pemindahan menggunakan pengangkutan laut.

“Pecahan tahanan yang dipindahkan balik ke negara asal secara terus ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka Indonesia ialah seramai 252 tahanan lelaki; 62 tahanan perempuan; 16 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan.

Semua PATI dihantar pulang menggunakan pengangkutan laut.

“Hari pertama pemindahan iaitu 12 Oktober, hanya melibatkan tahanan PATI dari Depot Imigresen Tawau sahaja iaitu seramai 135 orang.

“Manakala, bagi hari kedua 13 Oktober, jumlah tahanan seramai 207 orang adalah melibatkan tahanan PATI yang merangkumi tiga Depot Imigresen Negeri Sabah iaitu Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebahagian daripada 342 PATI warga Indonesia yang dihantar pulang melalui Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri 13 dan 14.

Dalam pada itu, katanya, program itu merupakan hasil kerjasama JIM Sabah dengan Konsulat Jenderal Republik Indonesia.

Jelas beliau, proses pemindahan tahanan dengan iringkawal masuk sehingga ke dalam Vessel (laut) Mid East Express 1 dan Malindo Express 2 telah selesai dilakukan pada jam 3.30 petang.

“Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pengusiran keluar dari negara.

“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan untuk memastikan mereka telah memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di Negeri Sabah, Malaysia) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.

“Semua agensi penguatkuasaan di negeri ini akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Tegas SH Sitti Saleha, JIM Sabah akan terus komited dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pengusiran PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|