Proses daftar parti baharu akan selesai dalam masa terdekat – Peter Anthony

Proses daftar parti baharu akan selesai dalam masa terdekat – Peter Anthony

Tenom: Bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Peter Anthony berharap proses pendaftaran parti baharu yang ditubuhkannya akan selesai dalam masa terdekat.

Katanya, masih ada beberapa proses lagi perlu diselesaikan meskipun pendaftaran parti itu sudah berjaya dilakukan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Peter ketika berucap di Dewan Antanom, Tenom.

“Beberapa minggu lepas ia telah berjaya didaftarkan dan mudah-mudahan kita berdoa kepada Tuhan supaya minggu depan selesai atau minggu berikutnya selesai.

“Bila selesai, kita akan buat mesyuarat agung tahunan dulu sebelum kita buat ‘roadshow’ dan lancarkannya,” katanya pada sidang media di Dewan Antanom, di sini, hari ini.

Diminta mengulas lanjut, bila parti itu diluluskan, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap menjelaskan bahawa memang parti sudah diluluskan sebelum ini namun perlu sedikit pindaan daripada teknikal di peringkat ROS.

“Perlu ambil masa sedikit. Nama parti belum lagi, nanti saya umum dalam masa terdekat. Parti ini pelbagai kaum yang boleh dianggotai semua berbilang bangsa dan berbilang kaum,” katanya.

Katanya lagi, majlis itu hanya untuk memberi pengenalan iaitu melibatkan hala tuju parti yang akan dilancarkannya nanti.

“Jadi mudah-mudahan dalam masa terdekat ini kita akan muktamadkan sebelum kita melakukan di seluruh Bahagian. Saya ingat dalam masa terdekat ini kita akan penuhi keseluruhan ‘protem’ di peringkat majlis tertinggi dan juga protem di peringkat Bahagian,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas bagaimana respons Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, beliau mengandaikan bahawa pihak parti di dalam kerajaan memahami sokongan yang diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya ingat mereka faham kerana tujuan kita, niat kita ini murni untuk bekerjasama dengan pimpinan di peringkat kerajaan negeri Sabah, begitu juga pemimpin di negeri ini. Kita ke arah itu,” katanya.

Pada 28 Disember tahun lalu, Peter mengumumkan keluar WARISAN dan akan menubuhkan parti berasaskan pelbagai kaum selain menyatakan sokongan kepada kerajaan GRS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|